SYARAT & PERATURAN
Permit kemasukan adalah melalui Perbadanan Taman Negeri Perak. Jumlah org, nama, no. i.c., alamat, no.telefon pewaris, tujuan dan tarikh kemasukan hendaklah disertakan semasa permohonan. Setiap permohonan permit hendaklah dibuat oleh Pemandu pelancong yang berdaftar dengan Perbadanan Taman Negeri Perak.
Mulai 2012 permohonan permit mengambil masa 1 hari untuk warganegara Malaysia dan asing
   
PERATURAN-PERATURAN SEMASA BERADA DI DALAM KAWASAN TAMAN NEGERI ROYAL BELUM
Semua pelawat-pelawat dan pengunjung serta sesiapa sahaja adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan berikut semasa berada di dalam kawasan Taman Negeri Royal Belum. Tiada seorang pun boleh, kecuali seperti yang dinyatakan oleh peraturan-peraturan ini, berada di Taman Negeri -
   
1. Memasuki kawasan Taman Negeri tanpa permit yang telah disahkan oleh Perbadanan.
2. Memasuki kawasan Taman Negeri berseorangan dan jika berkumpulan hendaklah ditemani/bersama sekurang-kurangnya seorang pemandu pelancong (berdaftar) atau seorang pegawai/ranjer/penguatkuasa Perbadanan.
3. Membawa pelancong masuk ke Taman Negeri kecuali pemandu pelancong yang berdaftar dengan Perbadanan sahaja.
4. Memasuki kawasan Taman Negeri dengan bot persendirian (tanpa lesen).
5. Berada di atas bot di dalam kawasan Taman Negeri tanpa memakai jaket keselamatan.
6. Menjalankan sebarang aktiviti penyelidikan di kawasan Taman Negeri tanpa mendapat kebenaran dari pihak Perbadanan dengan mengisi borang permohonan kebenaran bagi menjalankan penyelidikan, mengumpul dan membawa keluar spesimen.
7. Membawa keluar apa-apa sahaja spesis flora dan fauna serta benda-benda lain yang terdapat di dalam kawasan Taman Negeri.
8. Memburu, menjerat dan apa jua cara menangkap sebarang spesis hidupan liar di dalam kawasan Taman Negeri.
9. Menebang dan memusnahkan pokok-pokok di dalam kawasan Taman Negeri.
10. Membenarkan apa-apa haiwan ternakan memasuki atau merayau-rayau di kawasan Taman Negeri.
11. Menangkap ikan menggunakan teknik bom, kejutan elektrik, panah, racun, jala, rawai, jaring, pukat, bubu dan apa-apa teknik kecuali memancing di sepanjang sungai dan tasik di kawasan Taman Negeri.
12. Memancing dan apa jua cara untuk menangkap ikan di kawasan yang telah dizonkan larangan menangkap dan memancing ikan oleh Perbadanan dan Jabatan Perikanan Perak kecuali di zon yang dibenarkan sahaja.
13. Membawa keluar sebarang spesis ikan terutama spesis kelah, temoleh, tengas dan sebarau kecuali spesis ikan seperti toman, baung, lampam sungai, sia, kaloi, loma, terbul dan temperas adalah dibenarkan pada kadar 3 ekor bagi setiap pemancing.
14. Menduduki dan menggunakan kemudahan harta kekal dan harta mudah alih milik Perbadanan di dalam kawasan Taman Negeri tanpa kebenaran dan kelulusan dari Perbadanan.
15. Merosakkan atau menyalahguna kemudahan harta kekal dan harta mudah alih milik Perbadanan di dalam kawasan Taman Negeri.
16. Membina apa-apa bangunan di kawasan Taman Negeri tanpa kebenaran Perbadanan.
17. Membuang sampah di merata-rata semasa berada di dalam kawasan Taman Negeri.
18. Melanggar lain-lain peruntukan dalam peraturan ini yang akan dibuat oleh Perbadanan dari semasa ke semasa.