PERUTUSAN

Royal Belum yang terletak di bahagian utara Semenanjung Malaysia merupakan Hutan Hujan Tropika yang telah berusia melebihi 130 juta tahun. Ianya bukan sahaja berkepentingan untuk ekosistem hutan tetapi juga kepada manusia.

Selaku kawasan tadahan air yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti, Royal Belum amat membantu mengekalkan iklim bukan sahaja di negara kita bahkan dunia. Malah Royal Belum diiktiraf sebagai salah satu Hub Biodiversiti Mega Malaysia (MMBH). Ini kerana Royal Belum turut melindungi kepelbagaian biologi besar yang masih wujud serta lain-lain spesies yang tidak ditemui di tempat lain di dunia.

Pemuliharaan dan pengurusan biodiversiti Taman Negeri Royal Belum secara tidak langsung memberi   sumbangan   yang   amat   besar   dari   segi   pendidikan,   rekreasi   dan   estetika   selain menjadi penyumbang kepada sumber pendapatan negeri, negara  dan masyarakat setempat.

Keistimewaan   Royal   Belum   mampu   menarik   saintis,   naturalis,  penyelidik,   pengembara   danpelajar yang boleh menjadikan kawasan ini syurga penemuan baru dan menarik. Para naturalis akan kagum dengan keindahan alam, flora dan fauna di hutan hujan ini. Manakala, penggemar aktiviti lasak akan mencari cabaran baru untuk dijelajahi.

Kerajaan Negeri Perak telah mewartakan kawasan hutan di sebelah utara Belum yang meliputi keluasan 117,500 hektar sebagai Taman Negeri dan kini dikenali sebagai Taman Negeri Royal Belum.

Satu pelan induk pengurusan diwujudkan sebagai garis panduan kepada Perbadanan Taman Negeri  Perak   (PTNPk)  menguruskan  taman  ini  dengan  mengambil  kira  kepentingan alam sekitar bagi menjamin warisan hidup yang berterusan untuk generasi akan datang.

PTNPk turut menyelia Taman Negeri Pulau Sembilan. Meliputi gugusan sembilan buah pulau iaitu Pulau Rumbia, Pulau Lalang, Pulau Agas, Pulau Nipis, Pulau Payong, Pulau Buloh, Pulau Saga, Pulau Batu Putih dan Pulau Batu Hitam, taman negeri ini  terletak 10 batu nautika dari Pulau Pangkor.

Gugusan pulau ini amat dikenali di kalangan kaki pancing kerana wujudnya pelbagai spesies hidupan laut di sini. Kekayaan  khazanah marin, flora dan fauna di Pulau Sembilan ini boleh diperkenalkan sebagai kawasan pelancongan marin, eko pelancongan dan penyelidikan.

Untuk   memastikan   pelancongan   mampan,   pendekatan   bersepadu   dan   pembangunan berbentuk “low impact” telah digunapakai. Ini akan memastikan bahawa sumber alam dilindungi dan   terus   lestari.   Pelancongan   akan   mewujudkan   peluang   pekerjaan   kepada   masyarakat setempat dan pada masa yang sama menyokong sistem pengurusan alam sekitar yang lebih baik.

Pada masa akan datang, PTNPk berhasrat untuk mewartakan beberapa kawasan alam semula jadi yang bersesuaian sebagai Taman Negeri seperti Taman Alam Kinta dan Gua Tempurung. Ia bertujuan memastikan kawasan semulajadi ini dipelihara dari segi ekosistem dan biodiversity seterusnya   supaya   Kerajaan   Negeri   dapat   mengetengahkan   Negeri   Perak   sebagai   pusat tarikan pelancongan alam semulajadi.

Sekian, terima kasih. Jom terokai perak

 

DATO' SERI DIRAJA DR. ZAMBRY BIN ABDUL KADIR
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan



Assalamualaikum w.b.t  & salam sejahtera

Salam Perak Aman Jaya

Pertama sekali saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perbadanan Taman Negri Perak kerana mengambil satu inisiatif untuk membangunkan laman web untuk dikongsikan bersama rakyat. 

Kerajaan negeri Perak sebenarnya memang berhasrat untuk mempromosikan Taman Negeri Royal Belum sebagai produk baru eko-pelancongan  dan pusat pendidikan antarabangsa. Bagi pihak kami telah menjalankan pelbagai program dan promosi untuk merialisasikan tujuan tersebut.

Untuk mekluman pengunjung-pengunjung laman web Perbadanan Taman Negeri Perak juga, di Royal Belum mempunyai pelbagai produk dan tarikan. Antaranya ialah eko Flora dan fauna termasuklah 3 spesis Reflesia iaitu carry, R.canteli & R Azlanii. Royal Belum juga adalah merupakan World Capital of Hornbill yang mana terdapat 10 spesis burung Enggang dan ianya tidak terdapat dimana-mana tempat diseluruh dunia. Berbanding dengan negeri Sarawak sendiripn, Royal Belum mempunyai sepsis yang melibihi dari mereka.

Bagi makluman pengunjung-pengunjung laman web ini juga, kita mempunyai pelbagai kemudahan yang terdapat di Royal Belum dari Hotel bertaraf 4 bintang hinggalah ke Chelet-Chelet dan tapak-tapak perkhemahan yang disediakan oleh Perbadanan Taman Negeri  Perak sendiri.

Saya mengharapkan dengan wujudnya laman web ini dapat melonjakkan lagi promosi bagi satu produk eko-pelancongan yang menjadi kebanggan rakyat negeri Perak iaitu Royal Belum.

Berdasarkan keunikan Royal Belum,  saya bagi pihak kerajaan Negeri Perak ingin mengalu-alukan kedatngan pelancong-pelancong samada antarabangsa mahupun domestic untuk bersama-sama kami datang ke negeri Perak. Jom Terokai Perak!

 

YB DATO' NOLEE ASHILIN BINTI MOHAMMED RADZI
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan
Negeri Perak Darul Ridzuan



Bismillahirahman nirrahim,

Assalamualaikum w.b.t  & salam sejahtera

Salam Perak Aman Jaya

Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan berjuta penghargaan kepada Menteri Besar Perak selaku Pengerusi Perbadanan Taman Nageri Perak, Dato Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan, YB Dato' Nolee Ashilin binti Dato' Mohammed Radzi dan Kerajaan Negeri Perak khususnya.

Perbadanan Taman Negeri Perak juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Koridor Utara yang telah menyumbangkan dan membantu pihak kami untuk membangunkan laman web rasmi Perbadanan Taman Negeri Perak.

Di dalam era globalisasi dan kemajuan telekomunikasi, kami di Perbadanan Taman Negeri Perak melihat bahawa pembangunan laman web adalah amat penting untuk mempromosikan dan memperkenalkan taman-taman negeri dibawah Perbadanan Taman Negeri Perak kepada pelancong dan masyarakat khususnya. Dengan wujudnya laman web rasmi Perbadanan Taman Negeri Perak ini, maka dapatlah kami mempromosi dan memperkenalkan lokasi-lokasi pelancongan seperti Royal Belum dan Taman Negeri Pulau Sembilan secara maya dan membuat pilihan untuk datang melancong ke taman-taman negeri di Negeri Perak.

Akhir kata, saya dengan berbesar hati mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan para pelancong ke taman-taman negeri dibawah Perbadanan Taman Negeri Perak untuk menikmati dan melihat sendiri keindahan dan keunikan Taman Negeri DiRaja Royal Belum dan Taman Negeri Pulau Sembilan.

Sekian, terima kasih.

 

EN SUHAIMI BIN SAMSUDIN
Pengurus Besar
Perbadanan Taman Negeri Perak